Wednesday, November 13, 2013

Ibu Hebat Anak Hebat

Musim graduasi dan anugerah kecemerlangan telah tiba, baik dari level pre-school, primary school, standard 6, hinggalah universiti. Yang bergraduasi, yang cemerlang, semuanya akan naik ke pentas menerima anugerah. Yang dibawah pentas, pastilah ibu dan ayah yang menonton kegirangan, tak kurang yang menitis air mata gembra. Saat ini terasa segala letih dan lelah mendidik anak terbayar. Ada pula suara-suara yang mengucapkan tahniah untuk si ibu dan ayah, kata.-kata "ke mana tumpahnya kuah, kalau tak ke nasi", membuatkan senyum ibu dan ayah semakin lebar. Maka kata ayah, " hebat anak kita, macam ayahnya", maka kata ibu, "hebat anak kita, hasil didikan saya"....

Anak-anak yang hebat, selain dari faktor genetik ibu dan ayah, pastinya diasuh dari persekitaran yang hebat juga. Jika kita mahu anak kita hebat, ibu dan ayah perlu juga hebat. Jika anak-anak kita dalam golongan yang kurang hebat, lihat dan renung diri kita... jawapannya ada dengan kita. Adakah kita telah berikan home education kepada anak-anak kita?

Tanya diri anda:
1. Adakah anak-anak sayangkan kita sebagaimana kita sayangkan mereka?
2. Adakah anak-anak berasa jauh hati dengan kita?
3. Bagaimana hubungan kita dengan anak-anak?
4. Gembirakah anak-anak semasa berada bersama dengan kita? atau mereka lebih suka menyendiri atau bersama kawan-kawan sebaya?
5. Adakah anak-anak sering bergaduh sesama mereka kerana masing-masing cuba menarik perhatian kita?
6. Bagaimana komunikasi kita dengan anak-anak?
7. Bagaimana reaksi anak apabila disuruh / dinasihati?

Perhatikan, renungkan, muhasabah diri.

Anak yang hebat lahir dari didikan ibu dan ayah yang hebat. Anak-anak berusia 0 - 6 tahun adalah ibarat span, mereka memerhati dan menyimpan semua apa yang mereka lihat dalam minda bawah sedar. Anak-anak berusia 7 - 14 tahun adalah ibarat rebung yang perlu dilentur, anak-anak berusia 14-21 adalah ibarat buluh muda yang sedang membesar dalam persekitarannya.

Semasa anak-anak berusia 0-6 tahun, ibu dan ayah perlu menunjukkan contoh-contoh kehidupan yang baik, percakapan yang lembut dan pebuh kasih sayang - solat didepan / bersama anak-anak, membaca untuk mereka, meluangkan masa bermain, memeluk dan mencium, menunjukkan bahawa mereka sangat penting dalam kehidupan ibu dan ayah.

Pada usia 7 - 14 tahun, mereka memerlukan role model, ibarat rebung, ikatkan diri kita pada anak-anak. Solat jemaah, membaca al-quran bersama-sama, membaca buku bersama-sama, belajar atau mengajar, melakukan kerja-kerja rumah bersama, menunjukkan kasih sayang dengan jelas melalui kata-kata dan action. Apakah kita mengharapkan anak bersolat hanya dengan "menyuruhnya" tanpa dia melihat kita juga turut solat? Apakah kita mengharapkan anak-anak membaca hanya dengan ."menyuruhnya" tanpa kita memantau? Pada usia ini, anak-anak perlu diajar dengan jelas tentang tanggungjawab mereka. Maksud jelas, adalah mengajar melalui kata-kata dan secara hands-on. Seperti mengajar solat - mengajar dengan kata-kata, menunjukkan cara, dan bersama-sama melakukannya. Atau mengajar anak-anak didapur - dengan kata-kata, menunjukkan cara dan bersama-sama melakukannya. Konsepnya tetap sama walau apapun yang hendak kita ajar atau terapkan. Jika ia tidak dilakukan dengan jelas atau nyata ata conciously, maka akan berlaku unconcious learning - anak-anak belajar bahawa solat tidak penting, anak-anak belajar menonton TV lebih seronok dari membantu ibu di dapur, anak-anak belajar percakapan yang kasar yang sering digunakan olah ibu dan ayah ketika memarahinya kerana ini yang mereka lihat dan dengar setiap hari lebih daripada perkara-perkara yang kita ingin mereka belajar.

Pada usia 14 - 21 tahun, anak-anak ibarat buluh  muda, mereka telah ada suatu sikap yang ditanam dalam diri sejak kecil, oleh ibu dan ayah, dan akan membesar dengannya. Bergantung pada sikap, minat yang mereka ada, mereka akan memilih persekitaran yang sesuai dengan sikap ini. Jadi jangan salahkan persekitaran sekiranya mereka memilih persekitaran yang salah, kerana sikap dan minat mereka yang kita telah semai dan tanam sejak kecil sesuai dengan persekitaran tersebut. Adakah kita mengharapkan anak-anak akan berkawan dengan rakan-rakan yang bijak akademik sekiranya dia tidak berminat untuk belajar? Adakah kita mengharapkan anak-anak akan solat berjemaah di surau sekiranya dia tidak berminat untuk solat? Adakah kita mengharapkan anak-anak untuk mendengar nasihat kita sekiranya dia tidak pernah mendengar nasihat yang baik sejak kecil, selain dari dimarahi?
    
Sebelum kita berharap anak-anak untuk menjadi hebat, ubah dan latih diri untuk menjadi hebat terlebih dahulu. Sekiranya kita berharap anak akan menjadi soleh dan solehah, jadikan diri kita seorang yang soleh dan solehah terlebih dahulu. Insya-Allah anak-anak akan mengikutinya.

Jadilah ibu dan ayah yang hebat, insya-Allah kita akan melahirkan anak-anak yang hebat.






No comments: